Jom Santai Bersama Ben Ashaari !!

entri terbaru

Thursday, 20 October 2011

Tips : Makanan lengkap dan sihat untuk anak-anak

Menangani kerenah anak yang memilih makanan adakalanya memeningkan kepala ibu terutama mereka yang berkerjaya.

Masa untuk memuaskan hati anak yang memiliki selera tidak menentu ini boleh menyebabkan golongan ibu adakalanya tidak menang tangan. 

Apa kata ubah corak penyediaan hidangan yang diberikan kepada si kecil anda agar ia menjadi lebih menarik dan menyeronokkan.

Ibu bapa juga perlu mengajar kanak-kanak ini memahami istilah pemakanan yang sesuai dengan tubuh badan mereka dan mengajar mereka mendekati makanan berkenaan setiap kali menjelang waktu makan. 

Bagi Noraizah Mohd Jaafar, 32, menjadi perkara biasa apabila kanak-kanak memilih untuk makan tetapi ia tidak seharusnya dijadikan sebagai tabiat dan perlu ditangani segera.

Sebelum ini anak-anaknya agak memilih makanan dan hanya makan sesuatu yang menarik perhatian mereka.

“Mereka memilih untuk makan ayam, sosej dan ketulan daging ayam (nuget) berbanding makanan sihat seperti sayuran, nasi dan susu.

“Sukar untuk meminta mereka makan makanan sihat dan ia amat membimbangkan saya kerana semua nutrisi penting untuk pembesaran mereka ada pada makanan sihat,” katanya.

Bukan itu saja, katanya, jumlah pengambilan makanan mereka juga sedikit dan ia lebih mencabar untuk memastikan bekalan nutrisi diperlukan mencukupi.

Dia yang bekerja sebagai setiausaha berkata, antara cara yang boleh digunakan untuk menarik minat anak adalah dengan menyediakan makanan mereka dalam pinggan berwarna-warni.

“Setiap pagi saya akan sediakan sarapan pagi seperti roti, susu dan bijirin, tengah hari pula sup ayam, ikan kukus, sup ikan manakala makan malam bergantung pada mereka. Biasanya kami tidak makan nasi, saya gantikan dengan makaroni dan keju, spageti serta sup cendawan.

“Kepelbagaian dalam memadankan hidangan juga penting agar anak tidak berasa bosan dengan makanan sihat yang disediakan,” katanya.

Noraizah berkata, tidak dinafikan penyediaan makanan berasaskan piramid makanan penting kerana ia boleh membantu ibu dalam mengenal pasti nutrisi penting diperlukan anak mereka.

Piramid makanan ialah konsep asas dalam garis panduan khasiat pemakanan dan ia diperakui serta disokong secara global pihak berkuasa kesihatan sedunia termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jika mengikut piramid makanan, hidangan yang perlu diambil lebih banyak adalah nasi, mi, roti dan bijirin kerana ia membekalkan tenaga untuk tumbesaran dan perkembangan fizikal mereka.

Di samping itu, buah-buahan dan sayur-sayuran juga perlu dihidangkan bagi membekalkan vitamin dan zat galian serta daging dan telur perlu diambil secara sederhana.

Selain itu, kanak-kanak perlu mengambil nutrisi tenusu yang membekalkan protein berkualiti tinggi, vitamin dan zat galian dengan kadar sederhana manakala lemak (minyak), gula dan garam dalam kuantiti yang sedikit.

Sementara itu, Norhayati Mohd Tarmizi, 29, pula tidak berhadapan dengan masalah sebegini kerana anak-anaknya mengambil semua hidangan yang disediakan untuk mereka.

Sejak kecil, mereka diajar untuk mengambil jenis pemakanan menyihatkan dan segala keperluan nutrisi diperlukan diberikan sebaik mungkin memandangkan dia suri rumah sepenuh masa.

“Saya bersyukur kerana anak tidak banyak ragam dalam soal pemakanan dan mereka makan apa saja yang disajikan.

“Jika kanak-kanak lain tidak gemarkan sayuran hijau tetapi alhamdulillah anak saya cukup gemarkannya dan saya berasa bertuah,” katanya.

Justeru, bagi memastikan nutrisi penting kanak-kanak ini lebih lengkap, peneraju bidang pemakanan kanak-kanak, Mead Johnson melancarkan Sustagen baru yang dirumus secara saintifik bagi membekalkan si kecil dengan semua nutrien piramid makanan yang penting untuk pembesaran si kecil.

Formula baru ini mengandungi Appetit Support Nutrients - zink, besi, asid folik, tiamina dan vitamin B12 yang memainkan peranan penting dalam selera makan kanak-kanak.

Bagaimanapun, tabiat pemakanan tidak seimbang dan selera makan yang kurang boleh menyebabkan anak kehilangan nutrien hingga menjejaskan seleranya.

Hadir melancarkan susu formula baru ini, Pengurus Besar Mead Johnson Nutrition Malaysia/Singapura dan Brunei, Roger Dallas.

Dallas berkata, cabaran yang dihadapi golongan ibu pastinya amat besar terutama membabitkan kerenah anak yang sukar makan makanan berkhasiat.

“Pasti raut kecewa terbayang di wajah mereka sekiranya anak tidak berminat pada makanan yang disediakan selepas bergegas balik ke rumah.

“Namun, formulasi susu Sustagen baru ini dapat membantu memberikan sumber nutrisi diperlukan kerana pengambilannya tiga kali sehari bersamaan dengan tiga kali hidangan sihat yang memberikan 100 peratus nutrisi penting,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran susu Sustagen formulasi baru di The Cooking House, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Di samping itu, turut diadakan bengkel masakan hidangan lazat, menarik serta menyihatkan yang dikendalikan chef dan penasihat The Cooking House, Chin Pei Ling.

Chin menyediakan lima resipi Appetit Support Nutrients yang mudah iaitu lapisan telur dadar bersama roti gandum bakar, ayam panggang bersama nasi mentega dan salad bayam serta tomato, pasta bersama sos tomato berkrim klasik dengan ikan dan salad, puding vanila Sustagen dan smoothie coklat Sustagen.

Menurutnya, resipi yang diketengahkan ini boleh disediakan dalam masa lima hingga 25 minit dan ia cukup bagi memberikan semua khasiat keperluan harian kanak-kanak.

“Anda boleh menyediakan bahan yang diperlukan pada hujung minggu dan menyimpannya untuk digunakan kemudian hari supaya tidak terkejar-kejar. Saya yakin semua boleh melakukannya biarpun tanpa kemahiran memasak yang khusus,” katanya.

Selain itu, antara tip diperlukan bagi memastikan anak mengambil hidangan menyihatkan termasuk:


Masak dan hidang makanan yang sesuai dengan cara betul.

Ibu perlu memerhatikan minat anak terhadap cara penyediaan makanan dan sediakan hidangan serta-merta. Cara memasak seperti merebus, membakar dan menumis adalah baik untuk kesihatan tetapi jauhi daripada menggoreng hidangan berkenaan.


Gunakan kreativiti agar ia lebih menyeronokkan.

Jika anak anda menolak makanannya, cuba memasak menggunakan cara berlainan. Tambahkan pelbagai warna ke dalam makanannya dan perkenalkan bentuk menarik bagi hidangan berkenaan.


Tawarkan hidangan berkenaan sedikit demi sedikit.

Jangan mengisi keseluruhan pinggan, sebaliknya hidangkan kepada mereka sedikit demi sedikit kerana ia boleh menggalakkan anak meminta lebih banyak lagi hidangan itu.


Hidangan disediakan berdasarkan kualiti bukan kuantiti.

Hidangkan makanan berkhasiat kepada anak seperti pasta dengan menambah brokoli, kentang, keju, telur, daging ayam, ikan, kacang buncis dan bahan lain yang menyihatkan.

No comments: