Menggantung gambar atau lukisan memerlukan sentuhan kreatif supaya ia menjadi tarikan khususnya di ruang tumpuan.
Aspek reka letak dan keindahan elemen yang ditonjolkan menambahkan nilai seni padanya hingga menyerikan keseluruhan ruang.
Biar pun kelihatan remeh dan mudah, teknik dan panduan menghias dinding perlu diberi perhatian.
Pertama, sebelum menggantung gambar, tetapkan titik tumpu di
dinding. Cara ini amat berguna bagi sekelompok gambar, lukisan atau
foto.
Susun atur paling kreatif ialah menempatkan secara berkelompok gambar
berukuran kecil untuk digabungkan dengan gambar lebih besar dan objek
beraneka saiz.
Pastikan setiap gambar disusun rapat supaya kesinambungan di antaranya menjadi titik tumpu.
Ketinggian gambar yang ingin digantung bergantung kepada keluasan dinding dan keselesaan secara peribadi.
Bagi memberikan impak lebih hebat, pastikan gambar diletak separas atau bawah sedikit dari paras mata.
Sebaiknya, gambar itu disusun dalam kedudukan lurus dan jarak tepat jika mahu ia dilihat seimbang dan harmoni.
Dinding yang menempatkan sofa dan laci, pastikan gambar atau objek yang digantung rapat dengan perabot itu.
Selain menjamin kesan visual yang baik, gambar yang digantung jauh dari kelengkapan berkenaan kelihatan seperti tergantung sekali gus janggal dipandang.
Ketika merancang menghias dinding dengan gambar dan perhiasan, kenal pasti dulu bahagian tengah atau titik pusat dinding.
Seterusnya, mulakan menggantung gambar di penjuru paling kanan dan kiri dinding hingga mendekati titik tengah yang ditetapkan.
Ketinggian tepat gambar dan objek yang ingin digantung boleh diagak dengan meminta bantuan individu lain memegangnya.
Kaedah berkenaan membolehkan anda menilai sama ada kedudukan gambar digantung senget atau terlalu tinggi.
Jika ingin menggantung himpunan gambar, sediakan lakaran susun atur atau
rangka gaya susunan di lantai.
Selain mendapatkan gambaran keseluruhan susunan gambar, anda juga boleh menukar perancangan susun atur tanpa perlu mencabut kembali paku dan skru yang boleh merosakkan dinding.
No comments:
Post a Comment