Lupakan saja kaedah diet yang ketinggalan zaman. Terdapat banyak sebab kenapa diet yang kita jalani sebelum ini tidak membuahkan hasil. Tubuh, bukanlah baru ‘dibentuk’ pada hari ini.
Tubuh manusia terbentuk sejak lama dahulu, malah sebelum kaedah-kaedah diet yang sedia ada ini wujud lagi. Dulu, kurang makan hanya memberi maksud lapar, dan sekiranya tubuh tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut, akibatnya memang memudaratkan.
Apabila anda jalani diet rendah kalori, hanya anda sahaja yang faham bahawa anda mahu menurunkan berat badan. Sebalik nya, tubuh anda tidak memahami apa yang anda lakukan. Tubuh anda hanya ‘faham’ yang anda kelaparan, seterusnya tubuh akan cuba menghentikan usaha diet anda.
Diet memperlahankan metabolisme Kadar metabolisme setiap orang tidak sama. Ada yang mempunyai kadar metabolisme yang tinggi sehingga dapat membakar kalori dengan cepat. Mereka yang memiliki metabolisme yang tinggi rata-ratanya lebih langsing. Ada pula yang membakar kalori dengan lambat kerana memiliki kadar metabolisme yang rendah.
Poin yang penting adalah, kadar metabolisme boleh berubah. Ketika anda berdiet dan berada dalam keadaan lapar, tubuh akan memperlahankan metabolisme kerana tubuh tidak faham tentang konsep diet. Disebabkan tidak tahu berapa lama ia akan berada dalam keadaan lapar, secara automatik tubuh akan cuba bertahan dengan lemak yang ada.
Tubuh akan memperlahankan kadar meta bolisme untuk menjimatkan sebanyak mungkin lemak yang ada di dalam tubuh anda sehingga tempoh ‘berlapar’ anda tadi tamat. Ini kerana, lemak tersebut adalah sumber tenaga simpanan tubuh.
Elak Makan Ikut Nafsu
Kebiasaan diet dengan cara berlapar boleh beri kesan yang buruk. Ini kerana, tubuh bukan hanya memperlahankan kadar metabolisme untuk menyimpan lemak yang ada tetapi akan cuba mengambil kesempatan sebaik mendapat sumber makanan. Pantang ada saja makanan, tubuh cenderung cuba mendapatkannya dengan banyak.
Bayangkan saja anda sudah berdiet dan menahan lapar selama beberapa hari. Suatu hari, datang seorang rakan membawa aiskrim kepada anda. Anda berkata pada diri sendiri, makan satu atau dua sudu tidak akan beri kesan buruk pada diet anda. Tapi sebaliknya tanpa anda sedar semakin banyak pula yang anda makan.
Akhirnya, anda menyalahkan diri sendiri kerana tidak punya kekuatan untuk menghalang diri dari makan aiskrim tadi dengan banyak. Hakikatnya, anda bukanlah tidak punya kekuatan untuk menahan diri tetapi itulah sebenarnya bagaimana tubuh berfungsi.
Tubuh anda menganggap bahawa ais-krim tadi adalah satu-satunya sumber kalori yang boleh didapati setelah beberapa hari tidak mendapat keperluan kalori yang mencukupi. Sebab itu, anda tidak sedar bahawa anda sudah mengambil lebih kalori dari yang sepatutnya.
Ingat, kebiasaan makan secara tidak terkawal (mengikut nafsu) biasanya disebabkan oleh diet. Jadi sebenarnya adalah tidak bagus untuk anda mengelakkan diri dari makan seperti meninggalkan makan sarapan dan makan tengah hari.
Mengelak dari makan hanya membuatkan anda makan dengan lebih banyak sebaik sahaja berpeluang untuk makan. Oleh itu, makanlah seperti biasa dan elakkan diet rendah kalori. Mengelakkan atau terlalu kurang makan bukanlah cara yang efektif dan kekal untuk mengawal berat badan. Ia jauh sekali boleh dianggap sebagai sebahagian daripada program diet
No comments:
Post a Comment