
Hari
Kiamat adalah hari di mana akan musnahlah segala yang tercipta dan akan
binasalah segala makhluk yang pernah hidup di alam ini. Tahukah korang
bahawa Kiamat akan berlaku pada hari Jumaat? Jadi mari kita selami dan
baca kisah di mana peristiwa-peristiwa (besar) yang akan berlaku sebelum
munculnya Kiamat.
1. Munculnya Imam Mahdi
Nabi Muhammad SAW merupakan nabi yang terakhir diutuskan dan Imam Mahdi
pula adalah imam yang terakhir dan tiada lagi imam sesudahnya. Imam
Mahdi adalah dari keturunan Hasan, yakni anak kepada Fatimah dan Ali bin
Abi Talib. Ali pernah melihat Hasan sambil berkata: “Anakku ini akan
menjadi pemimpin seperti dijanjikan Rasulullah dan nanti juga akan
keluar dari keturunannya seorang lelaki yang namanya, kelakuannya sama
seperti dengan nama nabi kamu, namun bentuk tubuhnya tidak sama”.
Kemudian Ali menceritakan keadaan Imam Mahdi yang memimpin dunia secara
adil dan bijaksana.
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Akan keluarlah manusia dari sebelah
timur, lalu mereka pergi menemui Mahdi, yakni untuk mengikuti
pemerintahannya”. Imam Mahdi yang dijanjikan akan datang di akhir zaman
itu dikatakan akan mucul dari timur dan mereka akan melantiknya di
Mekah. Beliau akan memimpin dunia selama lima, tujuh atau sembilan tahun
dan pada zamannya nanti ajaran Islam dapat ditegakkan, musuh-musuh
Islam takut akannya, pemerintahannya tiada cacat cela, tiada kezaliman
dan kebaikan berkekalan. Beliau menguasai dunia seperti Nabi Allah
Sulaiman.
2. Munculnya Al-Masih Dajjal
Mengapa dia digelar Al-Masih? Nama Al-Masih diberi kerana buruknya rupa
dan bentuk tubuh Dajjal dan dia diciptakan sebagai makhluk yang dilaknat
kerana ia kufur dan mengaku dirinya sebagai tuhan. Al-Masih juga diberi
kepada Dajjal kerana terhapus atau hilang mata sebelahnya. Kekuasaannya
mencakup seluruh daratan dan lautan dan dia boleh menahan sungai
daripada mengalir. Di antara kedua matanya tertulis kalimat KAFIR dan ia
dapat dibaca oleh setiap mukmin sama ada pandai membaca atau tidak. Dia
akan hidup di bumi selama 40 tahun.
Pada akhir zaman nanti kemarau panjang akan berlaku, hujan tidak turun
dengan lamanya, tumbuhan tidak tumbuh dan dunia semakin kering kontang,
sementara manusia dalam kelaparan, kehausan dan banyak penyakit melanda.
Ketika itulah akan munculnya Al-Masih Dajjal dengan hebatnya. Dia
memerintahkan langit menurunkan hujan dan dia menyuruh bumi mengeluarkan
tumbuhan, dan ia benar-benar berlaku. Kemudian dia menyuruh sungai
supaya mengalir membasahi kekeringan bumi.
Dajjal menunjukkan kehebatannya dalam mengubati pelbagai penyakit,
bahkan dia boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Dia berpura-pura
mengajak manusia kepada pendamaian dan kemudian banyaklah pengikutnya.
Dalam keadaaan demikian, maka Dajjal mengaku dirinya sebagai nabi Allah
dan ramai percaya terhadapnya. Akhir sekali dia akan mengaku dirinya
sebagai tuhan bahkan dia mempunyai syurga dan neraka.
Dajjal berkata, “Akulah tuhan semesta alam dan aku sanggu menghidupkan
dan mematikan”. Tiba-tiba ada seorang mukmin membantahnya dan Dajjal
terus membelahnya kepada dua bahagian. Kemudian Dajjal menyeru kepada
tubuh mukmin itu, “Berdiri engkau”, lalu ia pon berdiri dan Dajjal
bertanya lagi, “Percayakah engkau aku ini tuhan sekalian alam?”, orang
mukmin itu menjawab, “Tidak, engkau masih Al-Masih pembohong”, lalu
mukmin itu dicampakkan ke neraka milik Dajjal.
Orang-orang yang percaya pada Dajjal kemudian mengikutinya setelah
melihat sendiri penipuan yang berlaku. Begitulah ramai yang akan kufur
pada Allah dan beriman kepada Dajjal. Dajjal akan dibantu oleh syaitan
dan jin dalam melakukan segalanya termasuk harta kekayaan. Mereka akan
membantu Dajjal sama seperti mereka membantu Nabi Sulaiman satu ketika
dahulu. Namun Dajjal tidak dapat memasuki kota Mekah dan Madinah kerana
keduanya dijaga oleh Malaikat.
Bilangan orang-orang mukmin semakin sedikit lalu mereka lari ke puncak
Bukit Dukhan untuk menyelamatkan diri dari Dajjal serta pengikutnya yang
terdiri dari bani Iblis dan Bani Adam yang ramai dan kahirnya mereka
dikepung di sana. Mereka ketakutan dan kelaparan berikutan tiada makan
dan minuman di sana dan hanya mampu berdoa, berzikir, bertasbih dan
bertahmid dengan kuat meminta pertolongan Allah. Tentera Dajjal tak
dapat mendekati mereka kerana bacaan yang kuat itu.
Berbulan-bulan mereka terperangkap di atas bukit dan tiba-tiba langit
menjadi gelap-gelita sehingga telapak tangan pun tak dapat dilihat depan
mata. Kemudian mereka mendengar satu seruan dari langit, “Telah datang
kepada kamu pertolongan!”. Tatkala itu bumi disinari nur dari langit dan
turunlah Isa bin Maryam dan tangannya pada sayap dua Malaikat. Dajjal
yang mengetahui kedatangan Nabi Isa kemudian terus pucat dan menyuruh
pengikutnya mengerjakan solat. Ketika Nabi Isa mendatangi Dajjal, lalu
Dajjal sambil ketakutan berkata, “Wahai nabi Allah, kami baru sahaja
mengerjakan solat”. Isa AS bekata, “Wahai musuh Allah, engkau mengaku
sebagai tuhan sekalian alam, untuk siapa kau solat dan mengabdi?” Lalu
tamatlah riwayat Dajjal dibunuh oleh Nabi Isa di Babu Luddi Palestin.
3. Turunnya Isa bin Maryam
Nabi Isa adalah nabi kedua terakhir yang diutuskan Allah. Nabi Isa telah
dinaikkan ke langit dan hidup dengan aman hingga sekarang setelah
cubaan membunuh oleh kaumnya. Waktu Dajjal berleluasa pada akhir zaman,
Nabi Isa akan turun dan membunuhnya serta memimpin umat Nabi Muhammad ke
jalan yang benar dan akan dihapuskan segala agama selain Islam. Dunia
ketika itu akan aman sehingga anak perempuan boleh bermain dengan
harimau.
Turunnya Nabi Isa diriwayatkan bahawa beliau akan turun berdekatan
dengan menara putih di Timur Damsyik dengan memakai pakaian kuning pada
waktu fajar. Dua telapak tangannya terletak di atas sayap dua Malaikat.
Kulitnya putih kemerah-merahan dan terdapat nur di wajahnya. Beliau akan
menghancurkan salib-salib, membunuh semua babi, menghapuskan cukai dan
tidak membayar zakat kerana waktu itu tiada seorang pun yang berhak
menerimanya. Tiada lagi cemburu, dengki , marah-memarahi antara satu
sama lain, dunia berjalan dengan aman dan lancar.
Bumi akan mengeluarkan cahaya dan menumbuhkan tumbuhan sama seperti
zaman Nabi Adam dan ramai orang memetiknya dan makan sehingga kenyang.
Nabi Isa akan memimpin dunia dengan aman selama 40 tahun sebelum
kewafatan beliau di Madinah. Beliau disembahyangkan oleh kaum muslimin
dan dimakamkan berdekatan makam Rasulullah SAW. Yakjuj Makjuj iaitu kaum
yang amat ditakuti manusia juga akan muncul pada zaman Nabi Isa ini.
4. Keluarnya Yakjuj & Makjuj
Yakjuj dan Makjuj adalah dua kaum yang telah hidup lama di sebalik dua
gunung dari zaman Nabi Ibrahim hinggalah sekarang dan mereka suka
berbuat kerosakan di muka bumi dan menyusahkan dan mengganggu manusia.
Masyarakat waktu itu tidak tahan dengan Yakjuj Makjuj lalu meminta Raja
Zulqarnain iaitu pemimpin yang agung untuk membuat benteng menahan
Yakjuj Makjuj dari keluar dari sebalik gunung tersebut. Lalu mereka
bekerjasama membuat benteng yang tingginya sama tinggi seperti dua
puncak gunung itu. Di situlah Yakjuj Makjuj terkurung sehingga Kiamat
nanti.
Telah tiba masanya lalu dengan izin Allah maka hancurlah dinding yang
menahan kaum Yakjuj Makjuj dari melihat dunia selama ini. Mereka pun
turun dari celahan gunung itu dengan lajunya seperti empangan yang pecah
mengeluarkan airnya. Lalu Yakjuj Makjuj meminum dan memakan apa sahaja
yang mereka jumpai sehingga kering air sungai dan perigi. Manusia ketika
itu semuanya ketakutan dan bersembunyi, mereka memohon agar Nabi Isa
menghancurkan Yakjuj dan Makjuj. Maka berdoalah Isa ke hadrat Allah dan
berkat doanya, lalu Allah mengirimkan ulat kepada Yakjuj Makjuj dan
mereka mati kesemuanya.
5. Matahari Terbit dari Barat
Terbitnya matahari dari ufuk barat adalah suatu yang mustahil akan
berlaku tanpa izin Allah kerana ia bertentangan dengan hukum alam.
Ketahuikah anda bahawa matahari itu setelah ia diciptakan, ia sentiasa
mengikut peredarannya iaitu terbit di timur dan terbenam di barat?
Setelah terbenam, ia pergi ke bawah Halimatul Arasy, sujud kepada Allah
dan mensucikanNya dan membesarkanNya. Kemudian matahari akan meminta
izin Allah untuk terbit kembali menjalankan tugasnya seperti biasa.
Setelah wafatnya Nabi Isa, manusia ketika itu ada yang tetap taat pada
ajaran Islam dan banyak yang kembali kufur kepada Allah. Tidak lama
kemudian berlakulah satu perubahan yang ketara pada alam semesta yang
tidak pernah terjadi sepanjang umur dunia. Apabila matahari terbenam,
malam menjelma seperti biasa, namun semua manusia dapat merasai keanehan
malam tersebut. Malam itu terlalu lama dan panjangnya sama dengan dua
malam biasa. Orang yang tidur sudah puas tidur, orang yang selalu solat
subuh di awal waktu masih menanti masa solat, sehingga ramai yang keluar
dari rumah masing-masing bertanya kepada jiran mengapa dunia masih
gelap.
Rupanya Allah telah menahan matahari dari menjalani tugasnya, Allah
berfirman, “Diamlah engkau disini”. Matahari pun diam selama dua malam
sehinggalah Allah memerintahkan, “Terbitlah engkau dari tempat
terbenammu”, lalu terbitlah matahari dari ufuk barat. Tatkala itu semua
penduduk dunia berasa sangat pelik kerana ia tak pernah berlaku dalam
sejarah, matahari telah terbit dari tempat terbenamnya. Kemudian kesemua
mereka menangis sama ada yang Islam atau yang kafir kerana mereka sudah
tahu hampirnya Kiamat. Namun segala tangisan dan taubat sudah tak
berguna lagi. Pada waktu terbitnya matahari dari barat, Allah telah
menutup segala pintu taubat dan pintu syurga, maka menyesallah mereka
sehingga mulai hari itu, tidak seorang pun akan bekerja lagi.
6. Keluarnya Binatang dari Perut Bumi
Setelah terbitnya matahari dari ufuk sebelah barat, kemudian muncul lagi
tanda kekuasaan Allah iaitu keluarnya binatang yang melata dari perut
bumi. Apabila ia keluar sahaja ke muka bumi ini, lalu muncullah tanda
pada dahi setiap manusia. Jika manusia itu beramal soleh maka
tercatitlah perkataan “mukmin” pada dahinya manakala jika manusia itu
seorang kafir, maka terang-terangan akan tertulis “kafir” pada dahi
mereka.
Rasullullah SAW pernah bersabda bahawa panjang binatang ini adalah 60
hasta iaitu sama tinggi dengan Nabi Adam AS dan orang yang mencarinya
takkan menjumpainya, sedangkan orang yang lari darinya takkan dapat lari
daripadanya. Binatang ini dikatakan kepalanya seperti kepala banteng,
matanya seperti mata khinzir, telinganya seperti telinga gajah,
tanduknya seperti tanduk rusa, lehernya panjang seperti leher burung
unta, dadanya seperti dada singa, warnanya seperti harimau, rusuknya
seperti rusuk kucing, ekornya seperti ekor kibas, tingginya seperti unta
dan ia akan membawa tongkat Nabi Musa dan cincin Nabi Sulaiman.
Apabila cincin Nabi Sulaiman dioleskan pada mukan orang kafir, maka akan
hitamlah seluruh mukanya manakala apabila ia dioleskan pada muka orang
mukmin, akan berserilah wajah mereka. Begitu juga tongkat Nabi Musa,
apabila ia memukul hidung orang kafir dan mukmin, maka tertulislah pada
dahi mereka kafir dan mukmin. Maka dengan itu jelas sudah perbezaan
antara orang kafir dan mukmin.
7. Dunia Diliputi Kabut
Allah berfirman, “Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang
nyata, yang meliputi manusia. Inilah Azab yang pedih. Mereka berdoa, Ya
tuhan kami hilangkanlah dari kami azab itu, sesungguhnya kami akan
beriman“. (Al Dukhan: 10-12)
Apabila kiamat itu hampir tiba, maka dunia ini akan diliputi kabut yang
tebal dan menjadikan dunia ini gelap. Kabut itu akan membuatkan orang
mukmin selsema dan sukar bernafas manakala orang kafir berasa
betul-betul merasa tersiksa dan terbakar. Semua orang akan berasa lemas
ketika itu lalu mereka tunduk pada Allah namun segala penyesalan tak
berguna lagi.
8. Angin yang Mematikan, diangkat Al-Quran & Perkara Baik
Setelah beberapa tanda besar berlaku, lalu berlalu tahun demi tahun,
kemudian manusia tetap lalai dari menginsafi diri pada Allah. Yang baik
akan membuat kejahatan kembali, yang jahat tetap begitu. Orang mukmin
makin ketakutan yakni mereka takut terpengaruh membuat kejahatan serta
fitnah lalu mereka berdoa pada Allah agar tidak terjerumus ke arah
maksiat. Lalu Allah menurunkan ubat dari langit yakni angin yang kuat
untuk mematikan orang-orang beriman walaupun dalam diri mereka masih
mempunyai secebis keimanan. Maka tinggallah orang-orang kafir dan
mungkar di muka bumi ini.
Lalu Allah angkat Al-Quran yakni penyuluh iman manusia ke langit serta
bersamanya Allah angkat segala kebaikan dari dunia ini. Diceritakan
bahawa Al-Quran datang mengadap Allah lalu ia mengadu, “Tuhanku, aku
cuma dibaca orang dan tidak diamalkan sama sekali.” Mendengar yang
demikian, lalu Allah mengangkat Al-Quran (ilmu) dari dada manusia bahkan
dari kitab-kitab Al-Quran dan akhirnya tinggal kertas-kertas kosong
sahaja, sedangkan huruf-huruf dan tulisannya sudah tiada lagi. Namun
Allah telah meninggalkan pada umat masa itu satu kalimah sahaja dan ia
hanya disebut oleh orang-orang tua masa itu, yakni kalimah “Lailaha
illallah”. Setelah orang tua itu meninggal, maka hilang sama sekali
ajaran Islam dari permukaan bumi.
Rasulullah SAW bersabda, “Yang mula-mula sekali diangkat Allah dari
hambaNya ialah sifat pemalu, kemudian dicabutnya sifat amanah dan kasih
sayang. Lalu Allah cabutkan pula kalung keislaman dari leher hambaNya,
maka jadilah hambanya itu jauh dari rahmat dan dilaknat”. Apabila semua
sifat berikut telah tiada dalam diri manusia, maka sifat-sifat buruk
akan berleluasa di muka bumi dan manusia tatkala itu tidak memperdulikan
sesama mereka. Mereka berbuat apa sahaja yang mereka kehendaki.
9. Hancurnya Kaabah
Kota Mekah adalah tempat di mana letaknya rumah Allah di muka bumi iaitu
Kaabah. Ia menjadi tempat umat Islam seluruh dunia beribadat kepada
yang Esa. Diriwayatkan bahawa Allah telah menjadikan tapak Kaabah itu
disokong dengan empat tiang daripada air dua ribu tahun sebelum Dia
menciptakan dunia ini dan Dia telah membentangkan bumi dari bawah
Kaabah. Tiang Kaabah itu panjangnya sehingga lapisan bumi yang ke tujuh.
Di setiap tujuh langit ada rumah Allah tempat para malaikat beribadat
padaNya dan pada langit ke tujuh nama rumah Allah itu adalah Baitul
Makmur. Rasulullah bersabda, “Baitul Makmur adalah masjid yang berada di
langit dan ia betul-betul di atas Kaabah. Seandainya ia jatuh maka ia
akan menghempap Kaabah”.
Sabda Rasullullah, “Kaabah akan dihancurkan oleh orang Habsyah yang
bergelar Dzus-Suwaiqatain (orang yang kedua-dua betisnya kecil) dan ia
akan merampas segala perhiasannya dan melucutkan kelambunya. Seakan-akan
terbayang di hadapan mataku keadaan seorang yang botak, bengkok sedikit
sendi-sendinya. Ia memukul-mukul Kaabah itu dengan besi penyeduk dan
kapak besar”. Nabi SAW bersabda lagi, “Seolah-olah aku dapat melihat
orang-orang yang merobohkan Kaabah itu berkulit hitam, merenggangkan
kedua kakinya dan membongkar Kaabah itu batu-batunya satu demi satu”.
10. Api yang Menghalau Manusia
Terdapat hadis menyebut, “Dan yang terakhir adalah api yang keluar dari
Adan untuk menghalau manusia ke tempat pengumpulan mereka”. Manusia di
akhir zaman makin jahat dan maksiat makin berleluasa, lalu ia
menyemarakkan lagi kemarahan Allah, lalu dikirimkan api yang keluar dari
perut bumi.
Api tersebut akan datang dari Adan (Yaman) dan akan membakar segala di
langit dan dibumi. Datangnya api itu akan membuatkan manusia lari
bertempiaran. Api itu bukan sahaja membakar segala di tanah dan di
udara, namun segalanya di dalam laut akan turut terbakar. Maka
berlarilah manusia menggunakan tumit mereka atau kenderaan-kenderaan
hebat mereka, mereka berlari sekuat hati untuk menyelamatkan diri
masing-masing namun mereka takkan selamat pada waktu itu jika mereka
tidak ke negeri Syam.
Kenapa negeri Syam? Rasulullah ada bersabda, “Api akan keluar dari
Hadramaut sebelum kiamat yang tujuannya untuk menghalau dan mengejar
manusia”. Lalu para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, ke manakah harus
kami berlari?” Lalu Nabi menjawab, “Pergilah ke negeri Syam”. Pada waktu
itu berbondong-bondonglah manusia pergi menyelamatkan diri ke negeri
Syam. Jika terdapat orang muslim yang masih hidup, api itu akan
mengikuti sahaja muslim tersebut, jika dia berhenti rehat, maka api itu
pun turut berhenti manakala bagi orang kafir, api tersebut akan terus
mengejar mereka tanpa henti.
Maka terbakarlah segala-galanya di muka bumi yang dipinjamkan Allah
kepada makhluknya. Hanya negeri Syam yang kecil sahaja tempat seluruh
makhluk di dunia yakni manusia, binatang, jin dan Iblis serta
pengikutnya berkumpul. Keadaan di sana amat sesak bahkan susah untuk
bernafas apatah lagi nak tidur. Semuanya berhimpit-himpit lalu Iblis
menyuruh konco-konconya menyesatkan lagi manusia yang dalam kesesakan.
Lalu bertambah jahatlah mereka dan berbuat sesuka hati mengikut nafsu.
11. Ditiupkan Sangkakala dan Berakhirnya Umur Dunia
Sangkakala pertama: Mengejutkan dan Mematikan
Masanya telah tiba, manusia-manusia makin lalai dan tidak pernah insaf,
lalu kemarahan Allah datang dan Allah memerintahkan Malaikat Israfil
meniupkan sangkakala. Israfil tidak pernah lalai dari tugasnya. Sejak
bumi diciptakan Allah, Israfil telah siap sedia memegang dan meletakkan
sangkakala itu ke mulutnya dan matanya dihalakan ke Arasy Allah. Maka
ditiupnya sangkakala pertama, yakni untuk mengejutkan. Dengan bunyi yang
cukup kuat dan lantang serta didengar hingga langit ketujuh,
menyebabkan seluruh makhluk Allah tergamam dan terkejut lalu membisu
kesemuanya.
Firman Allah, “Dan ingatlah hari ketika ditiupkan sangkakala, maka
terkejutlah segala yang ada di langit dan segala yang di bumi, kecuali
orang-orang yang dikehendaki Allah“. (Al-Naml: 87)
Seluruh makhluk di bumi mendongak ke langit dan melihat sumber datangnya
bunyi yang amat menggerunkan itu. Mereka tertanya-tanya dalam hati
suara apa yang bergegar di langit itu. Rupanya telah tiba masa nyawa
dunia ini ditarik kembali. Gunung-ganang tidak kukuh lagi, lalu ia
berterbangan mengikut awan. Dunia bergoncang sekuat-kuatnya dan
menjeritlah seluruh makhluk di bumi sehingga ibu melepaskan anaknya dan
orang hamil melahirkan anak tak cukup umur. Ketika itu gelaplah dunia
segelap-gelapnya kerana Allah telah memadamkan cahaya matahari, begitu
juga cahaya dari bulan dan bintang. Tiada istilah siang dan malam.
Langit terbelah, bulan dan bintang jatuh menghempap ke bumi.
Manusia tiada arah tuju lagi, mereka berkawan dengan jin dan jin
berlindung dengan mereka. Semuanya buntu lalu mereka pergi berjumpa
dengan Iblis yang mereka anggap dapat menyelesaikan masalah ini. Iblis
membawa mereka ke laut, namun alangkah terkejutnya mereka melihat laut
yang sudah naik dan api menyala dan mendidihkan laut itu. Mereka kecewa
lalu berdiri sahaja melihat laut. Iblis yang bingung berlari ke sana
sini namun segala yang dilihatnya adalah api. Dia teringat atas
peristiwa dahulu yakni peristiwa yang memulakan permusuhannya dengan
Adam dan sekaligus menjadikan dia kafir. Dia menyesali perbuatannya dan
berkata, “Tuhanku, sekarang suruhlah aku sujud kepada sesiapa sahaja
yang Engkau kehendaki”.
Syaitan-syaitan yang setia bersama Iblis selama ini berasa hairan dengan
kelakuan pemimpinnya, lalu bertanya, “Wahai penghulu kami, kepada siapa
engkau tunduk?” Lalu Iblis menjawab, “Aku merendah diri dan sujud
kepada tuhan sekalian alam yang telah memanjangkan umurku sehingga hari
kiamat. Sekarang sudah dekatnya masa yang telah dijanjikan.” Syaitan
yang tidak pernah tahu akan kewujudan Allah selama ini lalu berkata,
“Sesungguhnya engkau telah mencelakakan dirimu dan engkau telah
mencelakakan kami”. Mereka menyesal namun penyesalan pada waktu ini
tidak berguna lagi.
Tiba-tiba terdengarlah suara dari langit, “Sekarang sudah datanglah
ketentuan Allah, maka jangan kamu minta untuk dipercepatkan lagi”.
Meremang bulu roma mereka semua ketakutan dan menyesali perbuatan mereka
namun ianya tidak berguna. Lalu ditiupnya Israfil sangkakala kedua
yakni untuk mematikan, maka kedengaran ngauman sangkakala yang cukup
kuat dan panjang sehingga menembusi lapisan langit dan bumi yang ke
tujuh. Turunlah Izrail dengan rupa yang mengerikan dan dicabutnya nyawa
segala makhluk dengan kasar secara paksa kecuali yang tertentu sahaja.
Allah berfirman kepada malaikat maut, “Pakailah pakaian kemurkaanKu dan
bawalah bersamamu 70,000 Malaikat Zabaniyah (malaikat penjaga neraka)
dan setiap satu malaikat itu membawa 70,000 cangkuk dari Neraka Jahanam
dan cabutlah nyawa Iblis Laknatullah”. Malaikat maut turun ke bumi Allah
dengan rupa seburuk-buruknya, bau sebusuk-busuknya, dan diceritakan
rupa malaikat maut tiada seorang pun berani melihatnya. Maka larilah
Iblis ke mengelilingi bumi, ke laut, ke langit, ke timur, ke barat,
namun Izrail telah sedia berada di depannya. Akhirnya Iblis dikepung di
tempat mula-mula ia turun ke bumi sewaktu zaman Nabi Adam dahulu, lalu
dibentaknya Iblis dan dicabutnya nyawa Iblis secara kasar dan paksa lagi
mengerikan. Menjeritlah Iblis dan matilah ia disana. Maka tamatlah
permusuhan antara Adam dan Iblis dan dihancurkan dunia ini.
Malaikat Maut kemudian pergi mengadap Allah kemudian berkata, “Ya
tuhanku, telah mati semua penghuni langit dan bumi kecuali makhlukMu
yang Engkau kehendaki”. Allah bertanya pada Izrail walaupun Dia lebih
tahu, “Siapa lagi yang masih belum mati?” Izrail menjawab, “Yang tinggal
adalah Engkau yang sentiasa hidup dan tidak akan mati untuk selamanya,
malaikat penjaga ArasyMu, begitu juga Jibril, Mikail dan saya sendiri”.
Lalu Allah memerintahkan Izrail mencabut nyawa Jibril dan Mikail,
kemudian mereka pun mati. Serta merta Arasy Allah bergoyang dan dengan
izin Allah, Arasy berkata, “Ya tuhanku, mengapa diwafatkan Jibril dan
Mikail?” Allah berfirman, “Diam engkau! Tidakkah engkau tahu bahawa Aku
telah menetapkan kematian bagi semua makhluk yang berada di bawah
ArasyKu?”
Izrail mengadap Allah sekali lagi lalu ditanya Allah siapakah yang masih
tinggal, lalu Izrail menjawab, “Hanya Engkau ya tuhanku, malaikat
pemegang ArasyMu dan aku”. Dia diperintahkan mencabut nyawa malaikat
pemegang Arasy dan bergoncanglah Arasy tersebut disebabkan tiada siapa
yang memegang Arasy yang besar itu. Dengan izin Allah, Arasy itu diam
sendiri. Kemudian Allah bertanya lagi, siapakah yang masih tinggal, lalu
Izrail berkata hanya dirinya dan Allah yang Maha Esa. Allah berfirman
padanya, “Tidakkah kau mendengar firmanku bahawa setiap yang hidup pasti
akan merasai mati? Maka cabutlah nyawamu sendiri.”
Pergilah malaikat maut di suatu tempat yakni antara syurga dan neraka
lalu dicabutnya nyawa sendiri di situ dengan cara selembut-lembutnya.
Izrail berteriak sekuat hati dan andainya ada makluk Allah yang lain
mendengar teriakannya, maka akan mati kesemuanya. Lalu Izrail berkata,
“Andainya aku tahu pedihnya rasa mati, akan aku cabut nyawa orang
beriman dengan selembut-lembut cara.”
Sangkakala kedua: Membangkitkan
Setelah kewafatan Izrail, maka tinggallah Allah sebagai Raja di alam
semesta ini, lalu Allah bertanya kepada alam, “Siapakah raja-raja yang
memiliki kerajaan hari ini?” Namun tiada seorang pun menjawab
persoalannya, maka Allah sendiri menjawab, “Hanya kepunyaan Allah Yang
Maha Esa lagi Maha Mengalahkan”. Kemudian Allah memerintahkan langit
menurunkan hujan seakan-akan air mani lelaki ke bumi selama
berbulan-bulan sehingga bumi ditenggelami air. Lalu Allah hidupkan
Jibril, Mikail dan Malaikat penjaga Arasy serta Israfil.
Israfil telah bersedia meletakkan sangkakala di mulutnya sambil menunggu
arahan dari Allah. Jibril pula ditugaskan membawa pakaian yang serba
cantik lagi harum ke kubur Nabi Muhammad bersama Buraq yang pernah
baginda tunggah ketika Israk Mikraj dahulu. Kemudian Israfil memasukkan
kesemua roh-roh umat-umat sejak Nabi Adam hinggalah kiamat ke dalam
sangkakala dan ditiupkan sangkakala kali ketiga yakni untuk menghidupkan
segala makhluk, maka terbukalah kubur Rasulullah dan keluarnya baginda
disambut Jibril. Bertanya Rasulullah pada Jibril, “Hari apakah ini?
Bagaimanakah perihal umatku”. Jibril menjawab, “Ketahuilah bahawa engkau
adalah manusia pertama yang dibangkitkan.” Maka dipakaikan Rasulullah
pakaian yang serba agung lagi baik dan ditunggangi Buraq ke Masyar.
Sangkakala terus ditiupkan dalam masa yang panjang dan bertebaran
roh-roh masuk ke kubur masing-masing dan dihidupkan semua makhluk kali
kedua. Mereka semua tertanya-tanya hari apakah ini. Itulah hari
pengadilan dan mereka semua dihalau ke Padang Masyar untuk dihisab.